BANGI, Selasa – Sebarang cadangan untuk mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk penambahbaikannya adalah disokong.
Bagaimanapun menurut bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, beliau akan membantah sekiranya undang-undang peruntukan mengikut akta berkenaan cuba untuk dihapuskan.
Jelas beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), SOSMA masih diperlukan untuk menjaga keselamatan negara daripada jenayah keganasan yang digerakkan secara berkumpulan dan individu.

TAN SRI MUSA HASAN / Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC)
Tambah beliau, Amerika Syarikat juga mempunyai undang-undang seumpama SOSMA, dan polis di negara berkenaan boleh menahan sesiapa di mana-mana negara jadi mengapa perlu di Malaysia akta seumpamanya hendak dilupuskan.
“SOSMA ini adalah undang-undang berkaitan dengan keselamatan negara dan selalunya tadi kumpulan orang ni ramai. Jadi, apabila kumpulan tadi ramai maka polis memerlukan masa yang lama untuk menyiasat mereka. Selalunya mereka ni ada ketua, ada financial dia, ada orang-orang bawah dia menjalankan tugas tersebut. Untuk melumpuhkan kumpulan tersebut the police need time, polis perlukan masa yang panjang untuk menyiasat. Itu sebab dalam undang-undang tersebut, undang-undang tadi beri kuasa pihak polis boleh menahan 28 hari untuk siasatan dijalankan. Selepas 28 hari tadi, pihak polis akan dituduhkan di mahkamah.” – TAN SRI MUSA HASAN / Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC)
Tambah Tan Sri Musa, kajian semula itu perlu dilakukan untuk memperbaiki lagi undang-undang berkenaan, namun jika ada usaha ke arah melupuskannya beliau sama sekali tidak bersetuju.
“ Review itu perlu kita buat untuk memperbaiki lagi undang-undang tersebut kalau kita hendak. Bukan review untuk dilupuskan, ya, review untuk dilupuskan kita tidak ada undang-undang yang menjaga keselamatan negara lah. Ya, kita perlukan undang-undang ini, di Amerika pun ada akata tahan mana-mana orang di mana-mana negara. So, pasal apa kita tak boleh jaga negara kita sendiri dengan undang-undang tersebut? Review can but bukan untuk dilupuskan, untuk diperbaiki kan saya setuju.” – TAN SRI MUSA HASAN / Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC)
Beliau terdahulu melancarkan Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir, di Dewan Masjid Al- Mukhlisin, Alam Damai,di ibu negara pagi tadi.

40 buah kenderaan digerak untuk agih bantuan banjir ke Pantai Timur. Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Tan Sri Musa Hassan bersama Persatuan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)
Mengulas lanjut beliau berkata, kuasa polis untuk menahan tertuduh selama 28 hari merupakan peruntukan dalam SOSMA yang wajar dikekalkan kerana tempoh berkenaan akan digunakan oleh pihak berkuasa itu untuk menjalankan siasatan.
Sebelum ini media melaporkan , Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan bersetuju supaya peruntukan dalam SOSMA dikaji semula berikutan terdapat pelbagai aspek dalam peruntukan tersebut menerima kritikan terutama dalam isu mengehadkan pemberian jaminan.
Saifuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan akta berkenaan tidak akan disemak kembali dan menyatakan individu yang ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.
Bagaimanapun, kemudiannya Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Menteri Dalam Negeri itu mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.
ENDS