BANGI, Jumaat – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang masih mempunyai kes yang dalam perbicaraan di mahkamah.
Mahathir membuat spekulasi sekiranya Timbalan Perdana Menteri lebih utama hinggakan dilayan lebih tinggi berbanding Yang di-Pertuan Agong dengan merujuk peruntukan 33A Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan fungsi jawatan terhenti apabila pendakwaan berlaku ke atasnya.
“Sekarang bagaimana pula dengan jawatan yang lebih rendah seperti Timbalan Perdana Menteri. Dia sudah didakwa dengan 40 pertuduhan. Namun dia masih dilantik sebagai TPM dan masih menjawat jawatan itu,”
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya merujuk peruntukan yang dibenarkan oleh Perkara 33A perlembagaan persekutuan berhubung perlantikan seseorang individu yang berdepan pertuduhan di mahkamah.
Tun Mahathir mengambil contoh berkenaan fungsi Yang di-Pertuan Agong, dengan hanya didakwa dengan kesalahan pun sudah dianggap serius sehingga menyebabkan fungsi Agong terhenti.
Peruntukan berkenaan menyatakan bahawa ‘jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong’.
Jelasnya lagi, tanpa perlu menyebut -didapati bersalah- fungsi itu sudah jelas menerangkan bahawa perlembagaan menetapkan terhentinya fungsi Baginda.
Sehubungan itu beliau meragui pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang masih lagi memegang jawatan walaupun masih mempunyai 40 pertuduhan yang masih dibicarakan di mahkamah.
Tun Mahathir bagaimanapun tidak menyebut nama individu berkenaan, namun dipercayai ia merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau pada akhir kenyataannya secara berseloroh meminta penulisannya berkenaan pelantikan Timbalan Perdana Menteri diabaikan bagi kembali menjaga cucunya.