BANGI, Jumaat – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China.
Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, berkata peningkatan kes COVID-19 dan risiko kemunculan varian baharu di negara itu membimbangkan rakyat Malaysia dan pemain industri pelancongan.
Mohd Khalid berkata, seluruh dunia mengetahui hospital di China dipenuhi pesakit-pesakit covid-19 dan tindakan mudah negara itu menarik semula peraturan ketat mereka.
“Trauma dihadapi pemain industri pelancongan akibat COVID-19 masih belum pulih. Malah, banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat COVID-19, dengan menanggung kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun lalu,” – Datuk Dr Mohd Khalid Harun / Presiden MATA
Tambah beliau, rakyat terutamanya pemain industri pelancongan masih mengalami trauma dan kesukaran selepas negara berdepan pandemik pada 2020.
Mohd Khalid berkata, perkara itu diharap tidak berulang disebabkan industri pelancongan amat terkesan dan masih dalam proses pemulihan.
Beliau mengambil contoh tindakan pantas negara lain yang memperketatkan kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China bagi menyekat penularan Covid-19
Mohd Khalid meminta pemain industri pelancongan mengalihkan tumpuan perniagaan kepada pelancong dari Asia Barat dan Eropah dan tidak bergantung kepada China.
Sebagai rekod, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China.
China dilaporkan membuka semula sempadan pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.