BANGI, Sabtu – Kerajaan digesa memperkukuhkan strategi pembekalan makanan dan keselamatan secara mandiri berbanding mengharapkan pasaran luar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, Perjanjian Komprehensif dan Progresif Transpasifik (CPTPP) hanya menjerumuskan negara ke dalam masalah ekonomi dan keselamatan makanan yang lebih serius.
“Saya secara dasarnya konsisten sebagaimana kita kita menolak CPTPP yang akan bakal menjerumus negara ke lembah masalah ekonomi dan keselamatan negara yang lebih parah. Sifirnya mudah sebelum terlibat dengan TPP lagi negara berhadapan masalah keselamatan makanan yang serius dan kronik bayangkan kalua kita sudah meratifikasi CTPPP saya rasa ia tidak menyelesaikan masalah makanan bahkan akan memberi kesan lebih teruk.” – Setiausaha Agung BERJASA / Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Jelasnya lagi kerajaan juga sepatutnya membantu golongan petani dan penternak kecil dengan meluluskan serta menguatkuasakan akta, selain memberikan bantuan dan insentif bagi membangunkan industri dengan lebih baik.
Ujarnya, keselamatan makanan akan terjamin sekiranya kerajaan tidak bergantung kepada pasaran luar selain memperkukuhkan dan membantu golongan petani tempatan.
Sebagai contoh katanya, tahun ini sahaja kerajaan terpaksa mengimport 55 billion kilogram makanan asas untuk kegunaan rakyat.
“Jadi kerajaan kena melihat secara holistic dengan memperkukuhkan pembekalan makanan keselamatan makanan yang mandiri dan bukannya kita membuka pasaran kita dengan mengharap isu keselamatan akan selesai ia tidak akan berlaku sama sekali.” – Setiausaha Agung BERJASA / Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Tegas Lukman, selagi kerajaan tidak mampu berdikari dan terus mengimport makanan, isu keselamatan negara tidak selesai serta meratifikasi CPTPP bukan penyelesaian terbaik.
CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya.
Namun, perjanjian perdagangan ini dilihat lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).