BANGI, Jumaat – Pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau fitnah membabitkan Hydroshoppe Sdn Bhd atau pengarah syarikat konsesi berkenaan.
Dalam satu kenyataan bersama Hydroshoppe Sdn Bhd, pihaknya memandang serius berkenaan penyebaran maklumat palsu atau fitnah yang dilemparkan.
Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung isu ini. Kami ingin menekankan semua rundingan membabitkan isu Menara Kuala Lumpur mendapat kelulusan lembaga pengarah dan melalui cara yang sewajarnya,” – MENARA KL SDN BHD & HYDROSHOPPE SDN BHD
Syarikat tersebut melalui kenyataannya menegaskan semua urusniaga berkaitan MKLSB dilakukan mengikut undang-undang serta dengan usaha wajar (due diligence).

Kenyataan bersama Menara KL Sdn Bhd & Hydroshoppe Sdn Bhd
Dalam kenyataan berbahasa Inggeris itu, syarikat tersebut juga meminta pengguna media sosial untuk berhenti menyebarkan maklumat palsu serta membuat kenyataan fitnah dan spekulasi, yang bertujuan menjejaskan reputasi mereka.
Terdahulu, isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial ekoran syarikat pengurusan itu dikatakan sangat menguntungkan, pada masa sama syarikat yang membeli saham TM tidak dikenali.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilapor berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial dan akan meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh syarikat Hydroshoppe.
Beliau turut mengesahkan, sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.
Terdahulu Telekom Malaysia (TM) berkata pihaknya memutuskan untuk tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL kerana mahu menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.
TM juga berkata proses untuk memilih pemegang konsesi baru dibuat oleh kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memulakan siasatan dan setakat semalam telah memanggil tiga saksi dan mendapatkan sejumlah dokumen dari pihak berkaitan.