BANGI, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat memasuki negara ini.
Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM tidak bergantung kepada satu cara bagi menyaring kedatangan pengembara dari luar dalam membendung penularan COVID-19.
“Bukan satu cara sahaja kerana banyak negara masih memantau sebelum sebarang tindakan bersesuaian dijalankan. Kaedah bersesuaian antaranya keperluan vaksinasi penuh dan sebagainya”- Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah / Ketua Pengarah KKM
Noor Hisham berkata, kebanyyakkan negara masih meneliti sebelum tindakan bersesuaian dilaksanakan kepada pengembara luar.
Terdahulu pelbagai desakan pakar kesihatan supaya KKM menambah proses tapisan pengembara dari luar negara, termasuk China ke negara ini, termasuk mewajibkan keputusan negatif ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (PCR) COVID-19.
Pakar berpendapat dua langkah diumumkan KKM iaitu melakukan saringan demam dan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China tidak memadai bagi mengekang penularan.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) serta sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.
Noor Hisham berpendapat kedua-dua kaedah itu sebagai melengkapkan sistem pengawasan buat masa ini.
Terdahulu, China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 mulai 8 Januari ini, termasuk pembukaan sempadan republik itu, selain tidak mengenakan kuarantin ke atas pengembara yang memasuki negara itu.
Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan dan jumlah kematian yang membimbangkan.
Tontonan Buletin Pertiwi : https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/876678773747185