BANGI, Ahad – Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia menegaskan pihaknya tidak berhak menentukan harga tambang bas sekolah kerana penetapan harga ditetapkan oleh pihak operator bas tersebut.
Pengerusinya, Amali Munif berkata, kekangan ekonomi semasa COVID-19 yang telah melanda menyebabkan kehilangan 50 peratus pengusaha bas sekolah yang terpaksa ‘gulung tikar’ akibat tiada bantuan dihulurkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Kekurangan pemandu operator yang terkesan masa PKP tidak dibantu kerajaan. Kerajaan cuma bantu RM400 juta setiap tahun kepada bas awam dan bas rapid tetapi untuk bas sekolah tiada peruntukan, – AMALI MUNIF / Pengerusi Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia

Gambar hiasan
Beliau ketika dihubungi TV Pertiwi turut berkata, kenaikan harga tambang bas ini adalah termasuk dengan kos dan bahan yang telah naik.
Katanya, operasi bas secara penuh selepas PKP menyebabkan penyelenggaran perlu dilakukan setelah dua tahun tidak beroperasi kerana alat ganti komponen bas perlu diimport sebanyak 90 peratus dari luar negara.
Selain itu, kenaikan tambang bas ini juga dipercayai susulan pengumuman gaji minima RM1500 yang ditetapkan oleh kerajaan pada awal sesi tahun ini.
Bagi pengusaha, sebarang kenaikan yang wajar perlu dilakukan pada enam bulan pertama supaya pengusaha tidak perlu melakukan sebarang kenaikan pada tempoh berikutnya yang mungkin boleh menyebabkan ibu bapa terbeban pada pertengahan tahun.

Keratan akhbar berhubung kenaikan tambang bas sekolah naik menjangkau RM300 yang menyebabkan keluhan ibu bapa.
Berhubung isu yang hangat baru-baru ini, Amali juga meminta pihak yang membayar tambang bas sekolah sebanyak RM300 ringgit itu tampil ke depan dan memberi maklumat kepada persatuan berhubung transaksi pembayaran sebelum dan selepas kenaikan harga.
Katanya kejadian yang berlalu di Pulau Pinang itu penting untuk diketahui sedalamnya kerana ia boleh merosakkan imej persatuan bas sekolah berkenaan dengan kenaikan mendadak yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Amali turut menegaskan bahawa pihaknya dilarang untuk campur tangan dalam penetapan harga tambang bas kerana ia telah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.