BANGI, Ahad – Premis perjudian di Kedah tidak lagi beroperasi susulan kerajaan negeri memutuskan sebelum ini untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai hari ini.
Sehubungan itu, semua operasi premis perjudian dan loteri di negeri jelapang padi itu ditamatkan sepenuhnya semalam.
“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri di seluruh Kedah bagi memastikan tidak ada yang dibuka hari ini. Semua lesen tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi memperbaharui lesen judi.” – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Memetik Berita Harian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.
Pada 14 November 2021, Muhammad Sanusi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mengumumkan negeri itu tidak lagi meluluskan lesen perjudian selain mahu menghadkan aktiviti penjualan arak.
Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan mudharat lebih besar kepada penduduk selain bagi mencapai sasaran sifar judi.
Tindakan itu mencetuskan kontroversi apabila masyarakat bukan Islam mendakwa ia melanggar hak mereka sebagai rakyat Malaysia.