BANGI, Ahad – Tarikh pembubaran Parlimen atau tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) perlu ditetapkan awal bagi mengelakkan ketidakstabilan politik negara.
Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata, malah, pembubaran itu juga bukan prerogatif Perdana Menteri semata-mata yang menggunakan kuasa penentuan tarikh pembubaran parlimen sebagai bahan politik.
“Ada yang ingin disegerakan dan ada yang mahu dilambatkan. Tekanan demi tekanan dikenakan kepada PM ketika itu sehingga setiap temuramah yang dibuat maka PM akan ditanya soalan berkaitan. Ketidaktentuan tarikh pembubaran parlimen ini bukan sahaja menyebabkan keadaan politik tidak stabil malah pebur asing juga cuak untuk datang,” katanya.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahay
Katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, suasana politik negara semakin membimbangkan apabila tarikh pembubaran Parlimen sebelum PRU15 dilihat menjadi mainan politik pemimpin-pemimpin.
Tambahnya, tekanan demi tekanan diberikan kepada Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyegerakan atau melambatkan tarikh pembubaran.
Malah, katanya, situasi ini juga boleh menyebabkan pelabur-pelabur asing berasa tidak yakin untuk melabur di Malaysia.
“Bajet yang dibentang terpaksa dibuat kembali dan akan dibentangkan semula pada bulan Februari depan. Apakah ini tidak membazir masa dan tenaga penjawat awam? Peniaga-peniaga koporat pun terpaksa menangguh keputusan-keputusan besar kerana bimbang akan tersalah langkah,” katanya.
Ulasnya lagi, susulan pembubaran Parlimen tahun lalu, Belanjawan 2023 terpaksa ditangguhkan pada Februari tahun ini yang mana ia memberi kesan kepada rakyat.
“Dalam hal ini penentuan tarikh tersebut boleh dibincang dan dipersetujui dalam Dewan Rakyat. Biar rakyat, parti pembangkang, pelabur asing, syarikat-syarikat korporat faham dan tahu tarikh pilihan raya hadapan. Semua pihak berhak tahu bila PRU akan diadakan demi kesejahteraan negara,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan isu penentuan tarikh-tarikh tersebut dibincang dan dipersetujui dalam Dewan Rakyat supaya semua pihak termasuk rakyat cakna mengenai perkara itu.