BANGI, Selasa – Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menahan 13 individu kerana memasuki Hutan Simpan Batu Talam tanpa permit pada Ahad.
Pegawai Hutan Daerah Raub (PHD), Safiah Aimi Md Isa berkata, kesemua individu berusia antara 22 hingga 60 tahun dipercayai melakukan aktiviti sukan lasak di hutan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati individu yang ditahan terdiri daripada penduduk sekitar daerah ini dan Kuala Lumpur.” – Safiah Aimi Md Isa / Pegawai Hutan Daerah Raub
Safiah Aimi berkata, penahanan itu dibuat ketika aktiviti rondaan sempena operasi cuti tahun baharu dan siasatan awal mendapati individu ditahan adalah penduduk sekitar dan Kuala Lumpur.
Pihaknya berjaya merampas tiga kenderaan pacuan empat roda, tiga motosikal lasak dan lima ‘all terrain vehicle’ (ATV) serta beberapa peralatan perkhemahan.
Selain itu, peralatan perkhemahan dan memasak beserta parang dan penyodok dipercayai digunakan untuk mendirikan khemah turut disita.
Kesemua yang ditahan dipercayai satu kumpulan yang merancang untuk melakukan aktiviti lasak dan berkhemah sambil bermalam di hutan berkenaan.
Jelasnya, kegiatan mereka itu lebih kepada aktiviti riadah sempena cuti tahun baharu.
Individu ditahan mendakwa tidak mengetahui untuk mendapatkan permit sebelum memasuki hutan simpan kekal dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) atau PHD Raub
Tegasnya, jabatan itu masih lagi menutup sementara semua 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) di negeri ini berikutan musim tengkujuh.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 dan didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.