BANGI, Isnin – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, mengucapkan syabas kepada Kerajaan Kedah kerana melaksanakan pendirian tegas menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri di negeri itu.
Wan Salim berkata, pengharaman judi dan minuman arak ke atas umat Islam sudah dinyatakan secara jelas dalam kitab suci al-Quran (Surah al-Maidah: 90-91).
Beliau menjelaskan, sebab pengharaman itu sebagaimana dinyatakan dalam ayat sama ialah arak dan judi diperalatkan oleh syaitan bagi mencetuskan perseteruan serta kebencian dalam kalangan anggota masyarakat, selain menghalang mereka daripada mengingati Allah SWT dan menunaikan solat.
“Al-Quran juga ada menyebut bahawa antara fungsi utama pihak yang diberi kuasa pemerintahan ialah menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan memastikan solat didirikan oleh masyarakat yang beragama Islam (Surah al-Hajj: 41),” katanya lapor Berita Harian.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan semua operasi premis perjudian dan loteri di negeri itu ditamatkan sepenuhnya.
Justeru, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan berkenaan yang diputuskan pada November 2021.
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, memandangkan situasi di Pulau Pinang agak berbeza di mana masyarakat bukan Islam mewakili kira-kira separuh daripada bilangan penduduknya, beliau berpendapat pihak berkuasa boleh membenarkan premis judi terus beroperasi di negeri ini tetapi hendaklah dihadkan kepada masyarakat bukan Islam saja.
Beliau menekankan, orang Islam mesti dilarang mengunjungi premis berkenaan dengan penguatkuasaan peraturan yang ketat dan tegas.
“Saya mencadangkan supaya pihak berkuasa agama Islam dengan bantuan polis memantau premis berkenaan secara konsisten. Jika ada mana-mana orang Islam didapati terbabit kegiatan judi atau loteri, maka hendaklah dikenakan hukuman keras.
“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) perlu mempertingkatkan lagi kempen membanteras amalan berjudi dalam segala rupa bentuk dan sentiasa mengingatkan masyarakat Islam supaya tidak terbabit amalan haram ini.
“Peringatan itu boleh dibuat melalui khutbah Jumaat dan program ceramah serta kuliah di masjid dan surau di negeri ini,” katanya.