BANGI, Selasa – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, yang dijadual dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pembentukan kerajaan campuran di peringkat persekutuan membawa kepada kerjasama di peringkat negeri seperti di Perak dan Pahang.
“Perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan dibuat dalam satu mesyuarat PH, membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.” – Lim Guan Eng / Pengerusi DAP
Guan Eng berkata, perbincangan lanjut akan diadakan pada mesyuarat PH membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tinggi lain sebelum Tahun Baharu Cina.
Tambah beliau, sebarang pengumuman perbincangan mengenai PRN dan kerjasama lain antara kedua parti itu akan diumumkan selepas keputusan bersama dimuktamadkan pada mesyuarat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying mengumumkan pelantikan Bendahari DAP negeri, Wong Hon Wai sebagai pengarah kempen bagi persediaan PRN nanti.
Selain itu, Guan Eng berkata, penyokong DAP dan BN perlu memahami antara satu sama lain mengikut situasi politik semasa walaupun dahulu kedua-dua parti itu adalah musuh politik.