BANGI, Selasa – Isu bebanan kerja guru akan menjadi fokus utama Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, tanggungjawab mengkaji perkara itu akan diberikan kepada majlis berkenaan yang sebelum ini diumumkan akan diaktifkan semula tidak lama lagi.
“(Isu) bebanan guru, saya dah umumkan sebelum ini. Kita akan berikan tanggungjawab itu kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Fadhlina memaklumkan perkara itu kepada media ketika ditemui selepas meninjau hari pertama persekolahan di SK Jalan Kebun dan SMK Jalan Kebun.
Pada 15 Disember lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan agar segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, jawatankuasa berkenaan penting dalam usaha menyelesaikan masalah beban tugas guru supaya sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Sebelum ini, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan semula MPPK, seperti yang termaktub bawah Akta Pendidikan 1996 bagi menyumbang idea dan pandangan dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara.
Majlis berkenaan akan dianggotai 15 orang termasuk pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan seperti aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.
Dalam pada itu, KPM memberi kelonggaran kepada pengurusan sekolah menentukan sama ada pelajar perlu memakai tali leher ataupun sebaliknya.
Fadhlina berkata, kuasa menentukannya itu adalah di bawah bidang kuasa sekolah.
“Mengenai perkara ini (pemakaian tali leher oleh pelajar) kita serah kepada pihak sekolah.
“Kita beri kelonggaran kepada sekolah untuk terus pakai (tali leher) atau tidak . Tidak ada isu,” katanya.