BANGI, Selasa – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa tidak menerima peruntukan daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim menegaskan, penjelasan itu sepatutnya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya telah mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen dari kerajaan mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya berasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari Perdana Menteri,” katanya.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau mendapat makluman bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, namun sebaliknya tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto PH iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau meminta peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan juga diterima oleh Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.
Terdahulu, Mohd Sany mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’.
Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu hanya untuk menekan kerajaan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil kerajaan menerusi Belanjawan 2023.