BANGI, Rabu – Jurulatih pasukan bola tampar B-14 wanita Melaka, Saiful Hadee Amar secara terbuka memohon maaf mengenai keterlanjuran beliau menampar dua pemain sehingga ia tular di media sosial baru-baru ini.
Permohonan maaf itu dibuat guru sekolah berusia 44 tahun berkenaan di hadapan keluarga dua remaja perempuan berumur 14 tahun tersebut di pejabat Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong, Melaka.
Menurut guru sekolah rendah di Masjid Tanah berkenaan, akibat keterlanjurannya, beliau juga bersedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan dan berharap ia menjadi pengajaran buatnya.
“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku, latihan yang saya adakan mempunyai pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain saya.
“Ia demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan. Pemain-pemain saya adalah keluarga dan sumber kekuatan saya tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas berhubung isu berkenaan yang dipengerusikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN negeri, Asri Ninggal.
Mengulas lanjut, jurulatih itu yang dikenali dengan nama Hadee Amar itu tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan sebaliknya untuk menaikkan lagi semangat dan memotivasikan pemain-pemainnya dalam setiap perjuangan.
“Saya memohon maaf kepada semua pemain terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pada kelab saya sendiri, Mastanah, MAVA, Persatuan Bola Tampar Melaka dan komuniti bola tampar seluruh Malaysia.
“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya dan berharap perkara ini menjadi pengajaran pada diri saya sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette