BANGI, Rabu – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas perlu dikeluarkan segera oleh pihak kerajaan dalam menghadapi pelancong China serta mengekang penularan Covid-19 ke negara ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia bagi memastikan kepentingan negara terjamin terutama bagi menjaga nyawa rakyat.
“SOP tersebut mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan. Ia haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.
“SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system).
“Kerajaan wajar dengan segera mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” kata Ahli Parlimen Larut tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, telah dikesan di Malaysia pada Mac dan Ogos tahun lalu.