BANGI, Rabu – Rata-rata masyarakat yang menganggap pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) menerusi pembiayaan adalah merugikan ketika dividen rendah kurang tepat dan tidak wajar.
Ketua Pegawai Eksekutif KAC, Wealth Sdn Bhd, Khairi Aizat Hasan berpendapat, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) masih menawarkan dividen setiap tahun dan dana unit amanah dalam ASB berharga tetap RM1 seunit.
Menurut Khairi, jumlah dividen yang diberikan mungkin mengecil pada tahun 2022 yang menyebabkan ramai beranggapan tidak untung melabur di ASB terutamanya individu yang menggunakan teknik rolling dividen.
“Dalam mengira untung atau rugi pelaburan ASB menerusi pembiayaan, ia perlu mengambil kira nilai serahan dan jumlah dividen, yang mana kebanyakan pelabur terlepas pandang akan pengiraan nilai serahan.
“Contohnya, pelabur ambil jumlah pembiayaan ASB RM100,000, dia dapat dividen RM5,000 dan jumlah ansuran setahun sebanyak RM6,000, jadi jumlah RM1,000 yang perlu ditambah untuk tampung jumlah ansuran itu dikatakan rugi.
“Sedangkan nilai serahan ketika pembiayaan dibatalkan, pelabur berkenaan boleh dapat lebih daripada RM1,000, sekali gus mereka tidak rugi apa-apa,” katanya.
Jelas beliau, pelabur ASB yang menggunakan kaedah pembiayaan perlu melihat pulangan pelaburan (ROI) secara menyeluruh berbanding tertumpu kepada jumlah dividen sahaja tetapi juga nilai serahan jika mereka membatalkan pembiayaan ketika itu.
Baru-baru ini, ASNB mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit, dengan jumlah keseluruhan 4.60 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Mengulas lanjut, Khairi yang berpengalaman berkhidmat di tiga bank utama, berkata kerugian akan dihadapi oleh pelabur yang mengambil pembiayaan ASB tanpa membuat pengiraan secara tepat dan salah memilih strategi.
“Jika pelan takaful diambil secara berlebih-lebihan, ia akan menjejaskan nilai serahan apabila pembiayaan dibatalkan, yang mana pelabur perlu mengeluarkan dana tambahan untuk menampung kekurangan nilai atau short fall yang wujud.
“Sebagai contoh, katakan mereka mengambil tempoh pembiayaan 30 tahun, namun merancang untuk jual semula sijil pada tahun kelima.
“Sewajarnya, mereka hanya ambil takaful untuk tempoh lima tahun, bukan 30 tahun kerana premium takaful akan jadi tinggi mengakibatkan ansuran bulanan serta kadar faedah perlu dibayar juga menjadi lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pelabur juga akan rugi jika pelan takaful yang diambil berlebihan berbanding tempoh pelaburan namun dinasihatkan untuk mengambil pelan itu seminimum yang mungkin dan mencukupi dengan tempoh pelaburan yang diinginkan.
Tegasnya, strategi ideal bagi mengoptimumkan pelaburan ASB ialah dengan kuasa kompaun, yang mana dividen tidak dikeluarkan kerana modal pelaburan akan terus bertambah jika dibiarkan untuk jangka masa panjang.