BANGI, Rabu – Sekatan untuk pelancong China memasuki negara tidak akan berlaku, namun kawalan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan bagi mengekang penularan Covid-19 ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tiada sekatan dilakukan kepada pelancong dari mana-mana negara tetapi kerajaan akan memperketatkan SOP di pintu-pintu masuk sempadan negara.
“Kawalan itu diperketatkan tetapi tidak memilih negara kerana seperti mana yang saya tahu, pelawat mungkin dari Indonesia tetapi bulan lalu mereka ke negara China, umpamanya.
“Jadi hal-hal sedemikian itu lebih kompleks. Jadi, kita tidak mahu ambil satu tindakan yang gopoh semata-semata beberapa laporan,” katanya ketika diminta mengulas isu sekatan pelancong China yang dibimbangi membawa virus Covid-19 pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Jelasnya, mengikut tinjauan di seluruh dunia, penularan Covid-19 dilihat berlaku di setiap negara dan bukan hanya di China.
Tegas beliau, keselamatan negara akan menjadi keutamaan serta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana isu yang mengancam keselamatan rakyat.
“Yang penting bagi kita ialah tidak tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara,” tambah beliau.