BANGI, Khamis – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) digesa untuk mencapai sasaran 75 peratus penagih yang menjalani proses pemulihan meninggalkan aktiviti tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, AADK mempunyai kekuatan tersendiri iaitu komitmen kerja luar bisa selain fokus agensi tersebut yang sangat jelas.
“Kayu ukur kepada hasil kerja AADK, termasuklah pertama apabila mereka dapat menjayakan beberapa program pemulihan untuk tahun lepas baru berakhir seminggu, angka menunjukkan bagi setiap 100 penagih yang dikesan kemudian dibawa ke bawah program pemulihan.
“Pada akhir program pemulihan, yang kekal meninggalkan amalan itu adalah 70 peratus, tahun ini saya menggesa supaya AADK meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu 75 peratus, apakah benchmark antarabangsa? Benchmark antarabangsa antara 35 hingga 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Agensi Antidadah Kebangsaan di Kajang, Selangor pada Khamis.
Sementara itu, AADK menerusi edaran siaran media berkata, agensi tersebut telah merawat pulih 44,754 orang penagih melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) di 109 Pejabat AADK daerah seluruh negara.
Daripada jumlah itu, dari Januari hingga November 2022, seramai 17,151 penagih telah dinilai dan hasilnya mendapati 12,212 penagih mencapai tahap pemulihan.
Menurut kenyataan tersebut, pencapaian itu dinilai menerusi kaedah Cure dan Care Recovery Index (CCRI).