Bangi, Khamis – Pemilik Kelab Komedi Crackhouse dilaporkan memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membatalkan larangan tetap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap mereka daripada mendaftar sebarang perniagaan di ibu negara dan mengembalikan semula lesen perniagaan kelab itu.
Pemilik bersama kelab itu, Rizal van Geyzal dan Shankar R Santhiram mendakwa, keputusan membatalkan operasi perniagaan adalah tidak rasional dan menjejas kehidupan harian mereka.
Menurut permohonan kebenaran pemilik kelab memohon semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan DBKL pada 30 Julai yang membatalkan lesen mereka dan mengetepikan keputusan menyenaraihitam mereka daripada mendaftarkan mana-mana perniagaan di bandar itu.
Selain itu, pemilik kelab komedi berkenaan turut mendakwa pengisytiharan keputusan tersebut tidak mengikut perlembagaan.
Kedua-dua menamakan DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias pada masa itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden.
Permohonan itu akan didengar oleh Hakim amarjeet Singh dan memulakan semakan pada 26 Januari ini.
Premis berkenaan menjadi kontroversi susulan provokasi seorang pelawak wanita, Siti Amirah atau Amy yang menanggalkan baju dan hijab ketika membuat ‘stand-up comedy’ di kelab berkenaan.
Wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran dengan secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya di premis itu.
Terdahulu, premis yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu digantung sementara operasinya oleh DBKL kerana didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.