BANGI, Sabtu – Penyanyi Taiwan, Jay Chou bersedia menangguhkan konsertnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Januari ini bagi memberi laluan kepada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 selepas banyak pihak didapati tidak berpuas hati.
Penulis lirik, aktor serta personaliti televisyen itu berkata, penangguhan boleh dilakukan jika penyokong bola sepak negara memaklumkan kepada persatuan sukan dan pengurusan stadium berhubung perkara itu.
“Peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda memandang serius bola sepak. Saya boleh bekerjasama dan menangguhkan konsert, tiada masalah, JAY CHOU / Penyanyi
Beliau melalui Instagram Storynya dengan rela memberi laluan kepada perlawanan bola sepak aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022.
Tambahnya, perkara itu harus disampaikan kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat sama ada mereka membenarkan dirinya menangguhkan konsert.
Penyanyi itu juga berkata beliau tiada masalah dengan penangguhan konsert kerana niatnya hanya mahu menyanyi untuk peminat selain berharap peminat datang ke konsertnya dengan gembira.

Pengguna Instagram meminta penyokong bola sepak Malaysia menghentikan kecaman terhadap Jay Chao sebaliknya menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Terdahulu, penyokong bola sepak negara tidak berpuas hati selepas 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan pentas konsert Chou.
Pemasangan awal pentas nyanyian itu membuatkan penyokong bola sepak tidak berpuas hati memandangkan Malaysia akan bertemu Thailand di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 7 Januari malam ini.
Setakat Khamis, 59,000 tiket bagi perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Thailand yang dijadual berlangsung pada Sabtu habis terjual.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan ditempah awal oleh pihak penganjur sejak Mac 2019 dan mustahil untuk mengubah situasi berkenaan memandangkan itu turut melibatkan jumlah kru yang ramai.
Yeoh juga menegaskan tidak boleh menyalahgunakan kuasanya semata-mata untuk ‘mengorbankan’ konsert penyanyi Taiwan berusia 43 tahun itu.