BANGI, Ahad – Subvarian COVID-19 baharu yang dikesan pada 2022 dilaporkan menjadi strain dominan paling pantas di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes membabitkan varian XBB.1.5 yang dikenali sebagai “Kraken” itu melonjak ke seluruh AS dan turut dikesan di sekurang-kurangnya 31 negara lain, lapor Bloomberg,
XBB.1.5 ialah subvarian Omicron XBB yang merupakan gabungan di antara dua strain terdahulu iaitu BA.2.75 dan BA.2.10.1.
Walaupun menyumbang hanya satu peratus daripada semua kes COVID-19 pada awal Disember, jangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menunjukkan kes terus melonjak menjelang akhir bulan, meliputi 41 peratus jumlah jangkitan.
Menurut Ketua Teknologi COVID-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove, angka melonjak melebihi 70 peratus di negeri-negeri di timur laut.
“XBB.1.5 ialah subvarian yang mudah berjangkit yang berjaya dikesan,” katanya.
Namun, saintis dalam artikel yang diterbitkan dalam jurnal Cell baru-baru ini, memberi amaran bahawa subvarian seperti XBB.1.5 menimbulkan ‘ancaman serius’ kepada vaksin COVID-19 semasa.
Keupayaan menular yang lebih tinggi juga bermakna lebih ramai orang berkemungkinan dijangkiti, dan dengan itu mengalami akibat yang teruk.