BANGI, Selasa – Sekumpulan lelaki yang menceroboh Menara Merdeka 118 seperti tular dalam satu video di media sosial baru-baru ini telah ditahan pada Mei tahun lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB) berkata, insiden tersebut berlaku pada 1 Mei tahun lalu dan kesemua penceroboh telah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama.
“Kami ingin menekankan bahawa aksi ini menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja-pekerja di tapak pembangunan.
“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram,” menurut PMVSB dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, tular satu video berdurasi selama 7 minit 18 saat yang dikongsikan kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots mengenai pencerobohan yang mereka dilakukan ke atas menara tertinggi di Malaysia tersebut.
Kumpulan itu mendakwa, kejadian berlaku pada 30 Disember tahun lalu dan mereka turut memaparkan adegan meraikan kejayaan selepas menawan Menara Merdeka 118 di bilik hotel.
Sebelum itu, video tersebut menunjukkan bagaimana kumpulan berkenaan terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap masuk ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.
Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.
Dalam pada itu, PMVS turut menegaskan bahawa tapak Menara Merdeka 118 masih aktif dengan kerja pembinaan dan syarikat itu sentiasa memberikan keutamaan terhadap tahap keselamatan.
“Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya. Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” lapor kenyataan itu.