BANGI, Rabu – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang kru kapal FV SHUENN MAN NO 23 yang jatuh laut di sekitar perairan Pulau Ketam pada Selasa.
Pengarahnya, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua, jam 7 pagi Rabu dengan mengatur gerak bot PERKASA 36 dan dibantu oleh KD Teguh Samudera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Operasi CARILAMAT itu merangkumi keluasan 46.98 batu nautika persegi.
Mangsa Syaefullah, 27, warga Indonesia dikatakan telah jatuh laut pada 10 Januari 2023 pada jam sekitar 10.57 pagi dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.
Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju berwarna hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut.
Menurutnya, operasi itu telah diaktifkan pada jam 4 petang Selasa dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.
Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Maritim Negeri Selangor.
Cuaca di lokasi hujan renyai dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam.
Kapal FV SHUENN MAN NO 23 berasal dari Taiwan dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Mauritius, Afrika.