BANGI, Jumaat – UMNO menuntut supaya segala maklumat dan agenda sulit terkandung dalam buku ` My Story : Justice in the Wilderness yang ditulis oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dikorek sehingga ke lubang cacing.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan tanggungjawab itu kepada Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) untuk berbuat demikian.
“Kita menuntut semua maklumat yang selama ini tersirat oleh penulis buku itu mesti didedahkan, segala maklumat, dokumen dan agenda sulit mesti dikorek sehingga ke lubang cacing.”
“Azalina, ini tanggungjawab anda. Kalau anda gagal, anda gagalkan UMNO keseluruhannya. Kalau berjaya, UMNO akan memberi sesuatu yang cukup baik untuk saudari,” kata Zahid.
Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Azalina dilaporkan berkata, penubuhan itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Penubuhan RCI itu, katanya, bertujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.
Mengulas lanjut mengenai RCI itu, Ahmad Zahid, merakamkan penghargaan kepada Kabinet kerana meluluskan penubuhan suruhanjaya terbabit.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Azalina yang disifatkannya sebagai ‘Iron Lady’ UMNO.
“Iron Lady kita pula, Azalina, dalam agenda pembaharuan institusi ia perlu dilakukan segera dan beliau sudah melakukannya, tahniah. Kita berjaya dalam membawa akta anti lompat parti.”
“Beberapa pembaharuan institusi lain pula perlu diteruskan pada kadar segera termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya. – BH