BANGI, Selasa – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim
“FINAS mengambil maklum berhubung isu video trailer filem Pulau yang tular dalam media sosial ketika ini. Trailer yang tular memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan dilihat tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.
“Babak seperti ini tidak wajarnya dilakukan. Namun, kelulusan tayangan tertakluk di bawah LPF menerusi penguatkuasaan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.
Md Nasir berkata, tugasan penapisan filem dilaksanakan tiga Ahli Lembaga Penapis dan keputusan panel diperakukan untuk pertimbangan Pengerusi atau Naib Pengerusi Lembaga Penapisan.
“Sesuatu pertimbangan dibuat berdasarkan peraturan dan kriteria ditetapkan tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem.
“Filem adalah salah satu platform terbaik dalam menyemai semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta bangsa.
“Namun, FINAS tidak menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak mengeluar dan menerbitkan karya seni sebagaimana termaktub dalam Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dan pematuhan kepada prosedur permohonan lesen penggambaran yang meliputi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), Lesen Pengeluaran Filem (PF) dan Lesen Pengedaran Filem (DF) serta mana-mana akta perundangan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, FINAS akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6 (2) selaku badan dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan.
“FINAS boleh membatalkan lesen jika pemegang lesen disabitkan kesalahan berkenaan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.
“Sehubungan itu, FINAS menasihatkan agar penggiat seni lebih sensitif dan berhati-hati dalam penghasilan sesuatu karya kreatif dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
“Ia bagi mengelak timbul prasangka tidak baik atau kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang budaya dan agama,” katanya. – BH