BANGI, Selasa – Malang tidak berbau apabila seorang guru besar berputih mata kerana wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 dilarikan penjenayah.
Wang yang baru sahaja dikeluarkan oleh guru besar berkenaan diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor sebelum mendapati cermin keretanya dipecahkan ketika membeli minuman.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12.17 tengah hari semalam, seusai guru tersebut mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di pekan Semenyih untuk diagihkan kepada pelajarnya pada keesokan hari.
Mangsa ketika kejadian berseorangan telah mengeluarkan wang tunai berjumlah lebih kurang RM109,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih yang merupakan bantuaan awal persekolahan.
Menerusi kenyataan rasminya, selepas mangsa yang berusia 50 tahun itu mengeluarkan wang berkenan dalam sebuah beg, beg ditinggalkan di dalam kereta Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.
Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai dicuri.
Mohd Zaid turut berkata, polis kini sedang menggiatkan usaha bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh berhubung dengan mana-mana balai polis atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, berdasarkan keterangan guru besar berkenaan, beliau tidak membuat permohonan pengiring polis untuk transaksi pengeluaran wang berkenaan kerana sudah berpengalaman 10 tahun dalam mengendalikan situasi itu dan perkara demikian tidak pernah berlaku .