BANGI, Selasa – Keputusan UMNO meluluskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang menyebabkan masih ramai akar umbi dan pimpinan parti itu tidak berpuas hati walaupun perkara itu sudah dua hari berlalu.
Perkara itu turut disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar yang tidak menyokong keputusan berkenaan dan menganggap amalan demokrasi semakin mati di dalam parti tersebut.
Beliau juga kecewa apabila mengetahui terdapat wakil anak muda daripada Kelab-Kelab UMNO Luar Negara yang tidak dibenarkan berucap pada saat-saat akhir oleh pemimpin tertinggi UMNO ketika PAU 2022.
Saudara Muhammad Iman Irfan bin Yahya merupakan pelajar dari luar negara yang telah disenaraikan sebagai pembahas Ucapan Dasar Presiden No.17 di PAU 2022 tetapi di saat-saat akhir telah tidak dibenarkan berucap oleh pemimpin tertinggi UMNO Malaysia.
Beliau meluahkan perkara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.
Dalam pada itu, Noh percaya tindakan yang dikenakan ke atas Muhammad Iman itu adalah disebabkan tulisannya di media sosial mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, sejak 25 tahun lalu, perwakilan daripada Kelab UMNO United Kingdom dibenarkan berbahas dan kejadian ini merupakan kali pertama mereka disingkir dan dihalang berbuat sedemikian.
Noh yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu mendakwa situasi itu jelas memperlihatkan bukan sahaja demokrasi telah mati bahkan kebebasan bersuara juga telah terkubur di dalam UMNO.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan sokongan pengundi kepada UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Selangor terhad di Saluran 1 dan 2 sahaja.