BANGI, SELASA – Kadar prestasi usahawan negara masih lagi belum menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan akibat kadar inflasi yang tinggi serta kemelesetan ekonomi sejak Mac 2022.
Oleh itu hanya 45 peratus usahawan di negara ini yang masih mencatatkan peningkatan jualan dan selebihnya terpaksa menggulung tikar buat perniagaan yang dijalankan.
Justeru, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan intervensi daripada kerajaaan masih diperlukan untuk memastikan usahawan dapat terus bangkit serta kekal bertahan bagi menjalankan perniagaan mereka.
Mengulas lanjut, Ewon Benedick memaklumkan golongan usahawan yang terjejas akibat bencana banjir, kegagalan tadbir urus perniagaan dan bebanan kos sara hidup yang tinggi amat memerlukan bantuan intervensi daripada kerajaan bagi memulihkan semula perniagaan mereka.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pihaknya sedang giat mewujudkan sebanyak 24 strategi utama dan 185 program serta projek bagi membantu dan memperkasakan lagi golongan usahawan di negara ini.
Pelan strategik yang dibentuk dapat memberi manfaat kepada 543,080 usahawan dan bakal usahawan dalam menjadikan mereka lebih maju, proaktif serta berupaya mampan di dalam industri ekonomi negara.
Beliau berkata demikian, dalam sidang media Majlis Amanat Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Tahun 2023, Di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur.