BANGI, Rabu – Pasukan peguam bekas Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa wang RM2 juta yang diberikan kepada beliau dengan kod nama ‘coklat’ adalah sebenarnya untuk Perdana Menteri pada tahun 2017.
Peguam, Gobind Singh Deo membuat dakwaan itu semasa perbicaraan hari ini dalam kes rasuah membabitkan Guan Eng yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut negeri itu bernilai RM6.3 bilion.
Beliau berkata berdasarkan perbualan melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Ogos 2017 antara dua lagi saksi pendakwaan dalam kes itu, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan, G Gnanaraja yang dikatakan sebagai orang tengah membuat pembayaran berkenaan.
Gobind berkata demikian ketika menyoal balas saksi kelapan pendakwaan, Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Mohd Firdaus Wan Yusof dengan merujuk kepada perbualan Whatsapp terkandung dalam laporan forensik pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Guan Eng.
Wan Mohd Firdaus bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa dalam perbualan itu ada dinyatakan bahawa ‘coklat’ adalah untuk ‘big boss’ bagaimanapun apabila dicadangkan sama ada boleh menyatakan yang ia merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu, saksi terbabit menjawab, “tidak.”
Gobind seterusnya merujuk saksi dengan perbualan Whatsapp pada 23 Julai 2017 yang berkisar mengenai sambutan hari jadi seseorang dikenali sebagai big boss dan berkaitan sebuah kediaman di Taman Duta di sini, dan saksi bersetuju perkara itu terdapat dalam perbualan berkenaan.
Gobind seterusnya menyatakan bahawa ia adalah jelas ‘big boss’ tidak merujuk kepada anak guamnya kerana Guan Eng tidak tinggal di Taman Duta dan tidak dilahirkan pada 23 Julai 2017.
Sementara itu, Hakim, Azura Alwi kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan bagi dibekalkan dokumen laporan forensik itu yang ditetapkan bagi pendengaran pada 15 Februari ini.
Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – MALAYSIAKINI