ARSAL, Rabu – Pelarian Syria tetap berusaha mendapatkan pendidikan meskipun sudah diarah untuk meruntuhkan bangunan sekolah oleh pihak berkusa Lubnan atas sebab tidak mahu sebarang bangunan didiami pelarian Syria.
Sebuah bangunan yang menyediakan 10 buah kelas didirikan pelarian Syria di sini sebagai kelas pendidikan buat kanak-kanak kerana tidak mahu keciciran dalam pendidikan.
Meskipun tidak dapat belajar secara formal disebabkan akur dengan undang-undang Lubnan dan tidak berkemampuan, kanak-kanak Syria di Kem Mualimin, Arsal, Lubnan tetap gigih menuntut ilmu sehingga ada dalam kalangan mereka sudah menghafal 30 juzuk Al-Quran sejak berumur 12 tahun.

Kanak-kanak pelarian Syria mengambil peluang hadiri kelas belajar membaca Al-Quran
“Majoritinya merupakan guru-guru bekas guru di Syria, mereka mengusahakan untuk mengadakan kelas-kelas kecil untuk anak-anak yang berada di perkhemahan ini antaranya mengajar huruf bagaimana untuk menulis dan anak-anak di sini tidak dibenarkan masuk sekolah rasmi di Lubnan kerana sekolah rasmi ini tidak mampu untuk menampung jumlah anak-anak pelarian Syria di sini dalam satu jumlah yang sangat besar,” kata Ketua Misi Bantuan Musim Sejuk Aman Palestin, Ustaz Ismail Muhammad Juffri.
Ustaz Ismail berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan daripada tabung Aman Palestin kepada pelarian Syria berbentuk pek kotak makanan dan minyak pemanas.
Salah seorang guru muda, Usamah Al-Mahrawi berusia 16 tahun merupakan hafiz Al-Quran dan berjaya mendapat ijazah sanad 10 Qiraat bacaan Al-Quran.
Beliau berhasrat mahu melahirkan ramai lagi tahfiz dan anak-anak Syria yang berilmu di kem yang didiami.

Salah seorang guru muda, Usamah Al-Mahrawi
“Alhamdulilllah, saya bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada saya dapat menghafal Al-Quran dan saya berharap Allah kurniakan saya ilmu yang melimpah ruah dan menjadikan saya berkhidmat dan menyumbang kepada agama ini. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia,” kata guru pelarian Syria, Usamah Al-Mahrawi.
Kem Mualimin yang didiami seramai 65 keluarga dapat menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan anak-anak meskipun hanya tinggal di khemah pelarian yang serba daif.
Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh salurkan melalui Bantuan Musim Sejuk Palestin Syria dan Yaman di akaun Maybank Aman Palestin atau ke akaun tabung Aman Palestin yang tertera.