BANGI, Rabu – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) diterajui oleh menterinya, Mohamad Sabu mendapat markah tercorot dalam laporan penilaian persepsi rakyat susulan isu kekurangan telur dan ayam.
Mohamad berkata, markah itu didedahkan dalam pemukiman Jemaah Menteri di Putrajaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, semalam, beliau mengumumkan kekurangan bekalan telur di pasaran negara semakin pulih susulan langkah sementara kerajaan membenarkan telur import.
Mohamad berkata situasi itu terbukti apabila data daripada Jabatan Veterinar menunjukkan kekurangan telur pada Disember tahun lalu hanyalah sebanyak sejuta berbanding situasi kekurangan kritikal sebelum itu iaitu November sebanyak 157 juta dan 118 juta pada Oktober.
Disember tahun lalu, kerajaan membenarkan kemasukan telur ayam dari India menerusi laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati piawaian yang ditetapkan.
“Mereka (pengeluar telur) sangat mengharapkan hasil eksport telur untuk menampung kerugian dialami di pasaran tempatan kerana kawalan harga dikenakan terlalu lama dan boleh menyebabkan banyak syarikat terpaksa menghentikan operasi,” katanya.
Mengenai cadangan supaya kerajaan menghentikan eksport telur, Mohamad berkata, langkah itu tidak dapat dilakukan kerana kenaikan mendadak kos makanan ayam yang diimport dan kawalan harga yang terlalu lama hingga menekan pengeluar telur tempatan.
Bagi menyelesaikan isu berkenaan, beliau berkata, MAFS telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) selain mencadangkan agar subsidi bersasar diberikan kepada rakyat memerlukan, sebelum harga telur diapungkan semula.