Apakah OPR akan naik lagi?
Pasti berita kenaikan Kadar Dasar Semalaman, ditunggu-tunggu sekelian rakyat Malaysia tanpa mengira status mereka. Lebih-lebih lagi hasil mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) 2023 yang berlangsung hari ini dan esok.
Yang bernasib baik atau pun yang mempunyai pelaburan mungkin boleh melemparkan senyuman mereka hingga ke telinga.
Namun bagi yang berpendapatan rendah, cukup makan apatah lagi kais pagi makan pagi, ikat perut adalah langkah yang bakal afdal dicongak untuk dilakukan demi kelangsungan hidup khususnya, bagi mereka yang berkeluarga.
Bukan sahaja Bank Dunia, sidang Forum Ekonomi Global, WEF) malah para pemikir ekonomi juga sudah membayangkan kesukaran tahun yang mendepani seluruh manusia – dunia `bergelap’ tahun ini.
Justeru itu, di negara ini, masyarakat Malaysia tidak terkecuali menerima kesan tempiasnya.
Keprihatinan kerajaan ditagih untuk mempertimbangkan kenaikan OPR yang akan memberi kesan kepada mereka. Tiga kali kenaikan pada tahun 2022, dan esok entah berapa peratusnya pasti ia menekan komitmen bulanan mereka, sekaligus meruncingkan keadaan poket mereka.
Komitmen pinjaman dan pembayaran, serta mungkin bebanan perbelanjaan lain sudah pasti akan mengehadkan aktiviti ekonomi ditambah pula kuasa beli semakin menguncup maka rakyat mahu tahu siapa dapat membantu kesulitan mereka?
Benar, hidup itu keras – tahun 2023 satu tahun yang sukar.