BANGI, Rabu – Tindakan syarikat penerbangan, Malaysia Airlines melakukan tinjauan untuk mendapatkan pandangan orang ramai menerusi dalam talian mengenai pramugari dibenarkan mengenakan hijab atau menutup aurat ketika bertugas merupakan satu langkah proaktif.
Perkara itu turut dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh yang berkata, kaedah itu dapat menghentikan stigma dan eksploitasi kepada wanita terlibat dalam industri berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif ke arah kebenaran kod pemakaian patuh syariah dalam kalangan pramugari itu wajar diberi pujian dan sokongan selaras dengan agenda mengangkat martabat wanita serta Islam yang dibawa oleh kerajaan.
“Malaysia Airlines bakal menyertai beberapa lagi syarikat yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, Egyptair dan Air Cairo malah baru-baru ini British Airways juga memperkenalkan seragam baharu dengan pilihan tudung untuk kru wanita,” katanya.
Jelas Tuan Kamarul Arief, Yadim optimis bahawa tinjauan tersebut akan mendapat respons positif daripada rakyat.
Tambahnya, perkara ini juga tidak akan menjejaskan produktiviti Malaysia Airlines, malah ia adalah selari dengan slogan cogan kata syarikat itu yang dikenali seperti ‘Hospitaliti Malaysia Bermula Dengan Kita’.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia Airlines memulakan langkah pembaharuan mereka dengan menyeragamkan pakaian pramugari syarikat itu apabila menghantar borang kajian bagi mendapatkan pandangan daripada pengguna serta orang ramai.