BANGI, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah baik proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan termasuk memasukkan terus ke dalam akaun bank murid atau ibu bapa mereka supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga mengambil maklum semua cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak berhubung proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid.
Katanya, KPM akan mengekalkan proses sedia ada dan menambah baik dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ketika ini pihaknya masih perlu melakukan proses pemberian wang bantuan awal persekolahan itu secara bersemuka kerana mengambil kira terdapat ibu bapa yang tiada akaun bank.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan daripada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang mahu pembayaraan bantuan awal persekolahan seeloknya dimasukkan terus ke dalam akaun bank murid supaya lebih selamat dan menjimatkan masa.
Isu cara pembayaran bantuan awal persekolahan timbul selepas seorang guru besar berputih mata apabila wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kendaraannya di Semenyih dalam kejadian 10 pagi Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu. – Malaysia Gazette