BANGI, Rabu – Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan membuat kejutan dengan menangguhkan kenaikan seterusnya Kadar Dasar Semalaman (OPR) atau pada kadar yang lebih kecil.
Bank pelaburan itu berkata, tindakan sedemikian bertujuan menangani reaksi negatif.
Maybank IB dalam satu kenyataan seperti dipetik The Edge berkata, sebarang kenaikan baharu OPR pada Januari akan hanya mengukuhkan aliran kenaikan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan (KLIBOR 3M).
Namun, ia terkecuali apabila terdapat sebarang pengumuman mengenai langkah berkaitan mudah tunai.
Sementara itu Standard Chartered Malaysia pula menjangkakan Bank Negara akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus.
Kenaikan OPR itu dikatakan tidak mustahil memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan tidak mencampuri urusan di bawah bidang kuasa BNM dan menegaskan ia adalah keputusan mutlak bank pusat tersebut.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikannya juga berkata, pertumbuhan kukuh, kadar inflasi yang tinggi dan meluas akan mendorong dasar monetari selanjutnya yang lebih ketat.
Sementara itu, ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menjelang keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.
Pada jam 9.06 pagi, ringgit susut kepada 4.3270/3310 berbanding dolar AS daripada 4.3250/3280 ketika ditutup pada Selasa.