BANGI, Rabu – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan langkah menaikkan kadar dasar semalaman, OPR, kerana kesannya amat besar terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata kadar OPR itu tidak sepatutnya dinaikkan lagi pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlangsung hari ini.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif
Ini kerana kata beliau langkah peningkatan kadar itu hanya akan mengakibatkan lebih ramai menderita dan terbeban sehingga boleh berdepan risiko bankrap.
Malah beliau yakin semua pihak sama ada kerajaan, Kementerian Kewangan atau BNM sedar rakyat sedang susah, sebaliknya jelas beliau kadar itu harus diberi penurunan selari dengan hasrat kerajaan yang prihatin terhadap rakyat.
Jelasnya lagi apabila kenaikan OPR berlaku, lebih ramai isi rumah, akaun akan tertunggak dan rumah bakal dilelong dan menambah golongan yang bankrap.
“Kita menguruskan orang ramai masalah perbankan dan sivil dan kami dapat lihat keadaan lebih teruk rakyat hilang kenderaan tidak mampu tebus. Ramai akan naik pengangkutan awam, dan lebih ramai orang hilang rumah dan balik kampung, orang Melayu banyak bankrap.’’
Persatuan beliau yang berdepan pelbagai masalah perbankan orang ramai terutama Melayu, bimbang keadaan terdesak akan menyebabkan ramai yang menjadi muflis.
Mengulas lanjut, Rosland berkata, kerajaan sepatutnya memainkan peranan utama dengan melihat penderitaan ditanggung rakyat ketika ini terutamanya berkaitan kos sara hidup.
“Saya tidak faham, kerajaan sedar kesan kenaikan OPR akan menjejaskan kenaikan ekonomi orang ramai, tetapi hendak dinaikkan juga, apakah ini untuk menguntungkan pihak bank? Itu yang saya sedih dan kecewa, ramai yang susah tetapi apa saya boleh buat, tetapi tolong mereka hari-hari”
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan akan memperhalusi kenaikan itu dan bagi tahun 2023 yang dijangka berlaku kemelesetan ekonomi, kerajaan digesa menyediakan langkah lebih baik kepada peminjam.
Untuk rekod, Persatuan Penyeleaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, 4PM, menawarkan perkhidmatan dan nasihat kepada orang ramai yang menghadapi masalah tanggungan hutang berlebihan, rumah, tanah dan cagaran harta mereka dalam kemelut ekonomi keluarga individu dan juga syarikat.