BANGI, Rabu – Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni didapati tidak bersalah kerana mengkritik Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah pada 28 Mei tahun lepas.
Iswardy juga ditahan kerana mengkritik kerajaan ketika itu berhubung pengurusan pandemik Covid-19 yang tersebar di media sosial.
“Alhamdulillah, saya (didapati) tidak bersalah dalam semua pertuduhan. Penggantungan saya ditarik balik dan keahlian saya telah dikembalikan. Forgive, not forget (maafkan tapi tidak lupakan). Saya kembali,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial.
Dalam pada itu, Iswardy berkata, beliau didapati tidak bersalah dalam semua pertuduhan serta penggantungan sebagai ahli PKR ditarik balik dan telah dikembalikan keahliannya.
Terdahulu, Iswardy yang merupakan ahli PKR ditahan pada 29 Mei tahun lalu selepas video YouTubenya, mengkritik Yang di-Pertuan Agong tersebar di media sosial.
Menerusi video tersebut, beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Baginda ada menerima video dibuat individu lain mendakwa dirinya ada menghina Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini mengesahkan Iswardy adalah ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam hierarki kepimpinan PKR Sarawak mahupun dalam kepimpinan pusat.
Pada 1 Jun lalu, Iswardi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman YouTube yang disifatkan berbaur hasutan dan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Kumpulan hak asasi manusia Article 19 kemudiannya menggesa pertuduhan menghasut terhadap Iswardy digugurkan.