BANGI, Khamis – Konsep Membangun Malaysia Madani yang akan menjadi wawasan negara mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan cemerlang.
Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, apa yang digariskan sebagai rukun madani lahir daripada hasrat dan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dahulu.
Beliau berkata, terdapat enam aspek konsep Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Konsep Madani yang diilhamkan oleh Anwar bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya berdasarkan pengalaman panjang beliau menjadi pemimpin dari peringkat universiti sehingga bergelar pemimpin nombor satu negara ketika ini.
“Tumpuan (diberikan) kepada aspek daya cipta yang dikait dengan ‘islah’ dan aspek hormat bagi mengangkat martabat insan.
“Daya cipta bukan sekadar perubahan dangkal, ia harus diberikan satu nilai tambah yang signifikan kepada sesebuah sistem dalam mewujudkan proses perubahan yang berterusan yang mendakap dan memperkasa kreativiti rakyat,” katanya sebagai panel Wacana Membangun Negara
Madani : Daya Cipta dan Hormat di Kuala Lumpur hari ini.
Selain beliau, panel jemputan lain termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) di Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Haslinda Abdullah.
Mohammad Redzuan berkata, beliau yakin Malaysia Madani mampu membawa kejayaan kepada negara selain menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
“Rukun dalam konsep madani yang digariskan sebahagian hasrat Perdana Menteri, usaha untuk mempertingkat ekonomi, pebagai bentuk reformasi dilakukan dan Anwar antara yang terawal memperkenalkan pinjaman tanpa faedah melalui Koperasi Belia Islam pada 1997.
“Apabila sebut pembangunan ekonomi yang memberi keadilan kepada semua, idea diperkenalkan bukan sekadar terfikir dan dilaksana sebaliknya ia adalah penyelesaian hasil dari pengalaman beliau,” katanya.
Sementara itu Haslinda yang mengupas aspek ‘keyakinan’ dan ‘ihsan’ berkata,
dalam konteks membentuk kepercayaan, rakyat menuntut dasar yang adil dan dimanifestasi secara jelas di mana sistem itu juga harus bersifat holistik serta dirasai.
“Dalam konteks membentuk kepercayaan ini, kita menuntut sistem polisi yang adil dan dimanifestasi secara jelas dan tidak boleh retorik. Maknanya sistem itu harus holistik sifatnya, harus dirasai dan dijiwai.
“Kalau cakap pasal kesejahteraan, maknanya ia boleh dirasai, bukan hanya disebut atau dipamerkan.
“Bagi membina keyakinan kepada masyarakat, kepimpinan (dalam kerajaan) yang ada perlu sentiasa turun padang untuk merasai nadi masyarakat bagi menjelaskan konsep berkenaan,” katanya. – Berita Harian