BANGI, Khamis – Kerajaan Pahang sekali lagi tampil mendedahkan seramai 29 individu yang memalsukan gelaran Datuk serta Datuk Seri di negeri itu.
Antara nama individu yang disenaraikan itu juga terlibat dengan aktiviti pemalsuan kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran serta pingat negeri Pahang pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, senarai nama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Salllehuddin Ishak menerusi laman Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang.
Selain itu, pihaknya turut memaklumkan nama individu yang disenaraikan terlibat dengan pemalsuan nama penerima pingat daripada Sultan Pahang berhubung gelaran Datuk dan Datuk Seri sebelum ini.
Memetik berita Sinar Harian pada 28 Disember lalu, dua individu yang terlibat dengan kes tersebut dilaporkan mengaku tidak bersalah di atas 29 pertuduhan berhubung aktiviti pemalsuan dan pengubahsuaian kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran serta pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.
Tertuduh merupakan dua bekas kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan iaitu Mohd Isa Mohd Yusof, 36, yang telah dihadapkan atas 26 pertuduhan manakala, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30 menghadapi tiga pertuduhan.
Terdahulu, dua individu terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.