BANGI, Khamis – Keseluruhan rayuan berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan besar akan dibicarakan semula di hadapan Mahkamah Persekutuan.
Peguam kepada bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, situasi tersebut antara perkara yang dijangka berlaku sekiranya Mahkamah Persekutuan yang dibarisi oleh lima panel hakim lain bersetuju dengan hujahan untuk permohonan semakan sabitan dan hukuman bagi kes SRC.
“Jika mereka (Mahkamah Rayuan) bersetuju dengan saya, dua perkara boleh berlaku. Mereka membuat perintah supaya keseluruhan perkara itu dibicarakan semula di hadapan Mahkamah Persekutuan.
“Keseluruhan rayuan itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan. Saya rasa itu kemungkinan besar berlaku,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, Presint 2 pada Khamis.
Seramai lima panel hakim mula mendengar semakan yang difailkan oleh Najib bagi menyemak semula keputusan mahkamah yang mengekal sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada jam 9.43 pagi.
Mereka ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebil Sebli; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Selain itu, Muhammad Shafee berkata, situasi yang lain iaitu Mahkamah Rayuan juga boleh memerintahkan supaya keseluruhan perbicaraan bagi kes itu kembali semula ke Mahkamah Tinggi.
“Tetapi jika mereka bersetuju dengan permohonan menolak kelayakan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mereka boleh memerintahkan supaya semuanya kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.