BANGI, Khamis – Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menetapkan prosiding pendengaran semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 20 Februari depan.
Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan tarikh itu selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memberitahu, masih banyak hujahan mahu dikemukakan sedangkan masa yang ada adalah agak singkat.
“Kita akan sambung semula pada 20 hingga 22 Februari depan,” katanya.
Selain Abdul Rahman, turut bersidang ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Sementara itu, semasa hujahan, Muhammad Shafee berkata, permohonan penangguhan oleh peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika merayu bagi pihak Najib adalah munasabah.
Menurutnya, secara amalan, ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk mahkamah memberikan penangguhan atas dasar peguam itu baharu dilantik.
Malah katanya, pihak pendakwaan sendiri tidak membantah permohonan penangguhan itu.
“Mungkin kerana, pendakwaan sendiri menyedari kewajaran permohonan penangguhan oleh pasukan peguam dan peguam cara baharu, berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam pelbagai kes di mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan itu menolak bantahan awal Najib yang diwakili Muhammad Shafee supaya Abu Bakar menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.
Mengulas lanjut, kehadiran Abu Bakar telah dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara berhubung komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan itu.

Mohammad Shafee membantah penglibatan Abu Bakar sebagai panel Hakim Persekutuan sebelum prosiding bermula
Bantahan awal itu ditolak oleh Abdul Rahman kerana pihaknya tidak diyakinkan oleh hujahan Muhamad Shafee bahawa Abu Bakar seharusnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.
Sementara itu, pihaknya turut berpandangan undang-undang jelas menunjukkan bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara dalam menamakan Hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan bagi kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, peguam yang mewakil bekas Perdana Menteri itu bertindak membantah kehadiran Abu Bakar sebagai antara panel lima Hakim Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan berkenaan sebelum sesi prosiding bermula.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamag Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya
Najib dilihat hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 Juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya.
Dalam pada itu, penyokong Najib turut dilihat berada di luar kawasan mahkamah bagi memberi sokongan kepada beliau ketika menghadiri prosiding hari ini.
Sehubungan itu, sesi prosiding diakhiri dengan kebenaran permohonan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan prosiding petang ini kepada 20 hingga 22 Feb depan, yang diputuskan oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.
Najib turut diiringi oleh pegawai penjara untuk pulang ke Penjara Kajang, berikutan penangguhan pendengaran semakan kes SRC petang ini kepada 20 Feb depan.