BANGI, Khamis – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan, treler filem bergenre seram ‘Pulau’ yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas serta lucah tidak sesuai untuk ditayangkan.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut bagi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) yang berada di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Fahmi berkata, prosedur yang dipantau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) adalah berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) perhubungan antara LPF dengan Finas.
Beliau turut meminta Finas meneliti dan merombak semula SOP agar kelulusan itu diberi dengan penelitian yang lebih khusus.

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bersama Pengarah, Sabri Yunus menyaksikan tayangan eksklusif Filem Duan Nago Bogho di Starling Mall Damansara, Selangor.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho di Starling Mall, Damansara malam semalam.
Tambahnya, LPF atau Finas akan mempertimbangkan semula untuk menayangkan filem itu di pawagam.
Pihaknya sudah berhubung dengan Golden Screen Cinemas (GSC) dan difahamkan penerbit memutuskan untuk menarik semula treler itu dalam tempoh terdekat serta melakukan penyuntingan baharu.
Beliau berkata, menurut laporan diterimanya, berkemungkinan terdapat babak yang dipotong terlepas masuk ke treler filem itu.
Semalam, media melaporkan Finas tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF.
Media turut melaporkan Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu.