BANGI, Jumaat – Mutakhir ini, nikah sindiket sering didengari dan tidak asing lagi di negara ini melibatkan ramai pihak yang terjerumus ke kancah itu.
Susulan itu, khutbah Jumaat di seluruh masjid Selangor hari ini mengingatkan bahawa pernikahan yang dijalankan di luar negara didapati tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak yang boleh difaraqkan atau dibubarkan.
Menerusi khutbah bertajuk ‘Bahana Nikah Sindiket’ yang dikeluarkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ia menekankan pernikahan yang tidak didaftarkan, tiada Surat Perakuan Nikah akan diperolehi dan tanpa surat itu kelahiran anak tidak dapat didaftarkan seperti biasa.
“Ia mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara tidak dapat dipastikan sekali gus memberi masalah kepada urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak-anak,” katanya.
Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS berkata, nikah sindiket akan mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara tidak dapat dipastikan serta memberi masalah kepada pelbagai urusan.
Tambah Unit tersebut, pengurusan harta pusaka turut terkesan kerana pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf selain memberi masalah kepada tuntutan lain seperti perceraian, kesahtarafan anak, nafkah, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya.
Teks itu juga mengingatkan umat Islam khususnya di Selangor agar mengikut undang-undang dan peraturan pihak berkuasa agama jika ingin mendirikan perkahwinan.
Katanya lagi, faktor utama yang menjadi punca pernikahan sindiket adalah disebabkan berpoligami tanpa kebenaran serta mendakwa wali hakim sedia ada tidak bersetuju.
Selain itu, kes melibatkan pasangan terlanjur hingga mengandung dan mereka menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib namun hakikatnya setiap perbuatan dosa wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang mungkin menjadi tidak sah taraf.