BANGI, Sabtu – Sindiket penipuan di Malaysia dilihat semakin licik apabila berjaya memperdaya dengan menawarkan baucer di aplikasi dalam talian untuk digunakan bagi pembelian barangan peribadi di premis terpilih menerusi ganjaran menarik dan penjimatan sehingga 50%.
Kejadian itu juga mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas lebih 100 aduan diterima berhubung aktiviti penipuan itu daripada pengadu-pengadu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata pengadu-pengadu menghadapi masalah apabila aplikasi dalam talian berbentuk perkhidmatan yang memberikan ganjaran atas talian telah dihentikan oleh syarikat.
Beliau berkata pengadu-pengadu dikehendaki membeli baucer yang dikenali sebagai QV dengan nilai pembelian 1 QV bersamaan dengan satu ringgit bagi membolehkan mereka untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan dalam aplikasi tersebut.
“Pengadu-pengadu yang telah berdaftar dan membeli menggunakan sistem dalam talian tidak lagi diberi QV malah lebih teruk lagi aplikasi berkenaan tidak lagi berfungsi,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat MHO di ibu negara semalam.
Jelas Hishamuddin, antara perkhidmatan yang tersedia dalam aplikasi itu adalah perkhidmatan yang menjanjikan ganjaran melalui pembelian mata ganjaran bagi setiap pembelian seperti penghantaran barang, tempahan hotel dan percutian, platform pengiklanan digital serta platform untuk menonton persembahan atau video secara dalam talian.
Dalam pada itu, beliau berkata satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat dan berharap tindakan diambil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekali gus mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Hishammuddin turut memaklumkan MHO juga akan merujuk kes ini kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk siasat lanjut kerana difahamkan syarikat berkenaan pernah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini.
Beliau juga menyeru kepada individu-individu yang terlibat dan menjadi mangsa kepada aplikasi berkenaan untuk tampil ke hadapan kerana pihak MHO sedia membantu mereka mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Jadi, kita minta mereka menghubungi pihak MHO kerana kami mahu mengumpul seramai yang mungkin untuk membuat tindakan berkelompok (join action) kepada syarikat terbabit,” tambahnya.