BANGI, Sabtu – Syarikat utama Google, Alphabet, dan Twitter, Amazon, serta Salesforce dilaporkan akan mengurangkan tenaga kerja mereka di seluruh dunia.
Alphabet akan menjadi firma teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) terbaru yang bertindak mengurangkan 12,000 kakitangan selepas pandemik COVID-19, menurut laporan The Guardian.
Ketua Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai, berkata pemberhentian pekerja itu dilakukan susulan ‘semakan rapi’ terhadap struktur perniagaan syarikat.

Ketua Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas langkah sama diambil Microsoft untuk mengurangkan 10,000 tenaga kerja akibat peralihan dalam tabiat perbelanjaan digital dan kelemahan ekonomi global.
Menurut Pichai, pemberhentian pekerja itu menjejaskan kira-kira enam peratus daripada 187,000 tenaga kerja Alphabet, yang diumumkan menerusi e-mel kepada kakitangan Google.
Mengulangi kenyataan baru-baru ini oleh rakan kongsi syarikat itu, Pinchai menyatakan bahawa perniagaan Alphabet berkembang secara berlebihan semasa kemuncak pandemik, apabila permintaan untuk perkhidmatan dan produk digital meningkat.
“Sejak dua tahun lalu kami menyaksikan tempoh pertumbuhan yang dramatik. Bagi memadankan dan memacu pertumbuhan itu, kami mengupah pekerja untuk realiti ekonomi yang berbeza daripada yang kami hadapi hari ini,” katanya.
Tambah beliau, pengurangan tenaga kerja itu akan ‘merentasi Alphabet, lingkungan produk, fungsi, tahap dan wilayah’.
Di bawah Google, syarikat itu turut merangkumi YouTube dan sistem pengendalian mudah alih, Android.- BH