BANGI, Sabtu – ‘Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari’ adalah ungkapan tepat dan boleh menggambarkan situasi mangsa-mangsa terpaksa berputih mata susulan kerugian ribuan ringgit kepada sindiket penipuan yang menawarkan penjualan baucer di aplikasi dalam talian.
Salah seorang mangsa, Mohamad Azlan Azhar, 36, mendakwa mula memuat turun aplikasi itu apabila diperkenalkan oleh seorang rakan pada awal tahun 2021 dan telah kerugian lebih RM 90,000 selepas menggunakannya.
Beliau berkata pengguna perlu membuat pembelian baucer mengikut nilai ditetapkan dan akan menerima mata ganjaran serta subsidi baucer sementara baucer berkenaan boleh digunakan di premis-premis perniagaan dan stesen minyak yang disenaraikan dalam aplikasi itu.
“Setiap transaksi menggunakan aplikasi itu, pengguna akan menikmati penjimatan sehingga 50%. Sebagai contoh isi petrol pada harga RM90 tapi hanya bayar RM45.
“Yang baki RM45 lagi pihak syarikat itu akan membayar menggunakan bonus baucer tersebut,” katanya kepada TV Pertiwi bagi mengulas lanjut mengenai sindiket penipuan yang didedahkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara semalam.
Menurut Mohamad Azlan, syarikat terbabit disyaki melakukan aktiviti itu di Pulau Pinang selain mempunyai cawangan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Turut mendapat nasib sama, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Izzudin Ahmad, 37, daripada Kuantan, Pahang kerugian RM30,000 akibat membuat tambah nilai RM600 hampir setiap hari untuk mendapatkan ganjaran serta subsidi baucer menerusi aplikasi tersebut.
“Saya mula memuat naik aplikasi ini pada bulan Jun 2021 dan ketika itu jumlah maksimum bagi tambah nilai adalah sebanyak RM600 sehari untuk mendapatkan baucer”
“Pada mulanya saya tidak ragu-ragu namun selepas beberapa bulan, akaun dibekukan dan tidak dapat membuat pembelian menggunakan baucer berkenaan ,” tambahnya.
Jelas Izuddin, syarikat tersebut juga menaikkan jumlah tambah nilai sehingga satu ribu ringgit yang menyebabkan pengguna-pengguna tiada pilihan lain kerana terpaksa klik setuju dengan terma dan syarat di aplikasi berkenaan sebelum tambah nilai.
Dalam pada itu, beliau berkata selepas beberapa bulan, akaunnya telah dibekukan sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat membuat pembelian menggunakan baucar itu dan telah beberapa kali menghubungi syarikat untuk menuntut semula wang namun sehingga kini tiada maklum balas diberikan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya telah menerima lebih 100 aduan berhubung aktiviti penipuan itu dan akan membawa kes berkenaan kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata pihak MHO juga berbesar hati membantu individu-individu yang terlibat dan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini untuk menuntut keadilan.