BANGI, Sabtu – Keputusan UMNO meluluskan usul dua jawatan utama dalam parti itu tidak dipertandingkan dalam masih mendapat pelbagai reaksi daripada ahli-ahli politik sehingga ke hari ini.
Perkara ini turut disuarakan oleh veteran UMNO, Dr. Mohamad Khir Toyo yang memaklumkan sekiranya dua jawatan utama parti itu dicabar ia akan merencatkan proses pemulihan dan melebarkan perpecahan.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu turut menasihati pemimpin UMNO yang ingin membantu memulihkan parti untuk bertanding jawatan lain selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
“Mereka yang ingin membantu memulihkan parti sewajarnya bertanding jawatan tertinggi lain dan melontarkan idea dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT), apatah lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seorang yang suka mendengar pandangan ahli MKT,” katanya.
Memetik Malaysiakini, jelasnya, mereka yang ingin membantu parti seharusnya melontarkan idea kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukannya Ahmad Zahid kerana beliau MKT lebih berkuasa dalam UMNO berbanding beliau.
“Bukan Zahid yang berkuasa dalam UMNO sebaliknya MKT. Apakah matlamat sebenar mereka yang ingin bertanding untuk jawatan dua tertinggi, apakah agenda peribadi untuk menjadi timbalan perdana menteri mahupun menteri?” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak yang ingin mencabar kepimpinan Ahmad Zahid mempunyai agenda peribadi dalam mencabar dua jawatan tertinggi parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Khir berkata sekarang bukan masanya untuk pemimpin dan ahli parti itu bertelagah sesama sendiri sebaliknya perlu bergandingan bahu untuk memulihkan UMNO.
Pada 14 Januari lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) menyokong usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.
Bagaimanapun, usul tersebut mendapat kritikan dari beberapa pemimpin parti itu antaranya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Selain itu, semalam, ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dilaporkan menghantar notis bantahan kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS).
Notis bantahan itu dibuat kedua-dua mereka selepas beranggapan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan parti itu.