BANGI, Ahad – Penantian dua suspek pengganas Malaysia yang ditahan di penjara Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, hampir 20 tahun untuk dibicarakan masih tidak berkesudahan, menurut seorang peguambela.
Peguam mewakili seorang daripada suspek, Brian Bouffard, berkata mereka muak dan bosan dengan kerajaan AS kerana menyebabkan penangguhan berterusan untuk perbicaraan dijalankan.
Dalam langkah terbarunya, Bouffard yang berpangkalan di AS, mewakili Nazir Lep, berkata mereka memfailkan usul minggu lalu, meminta Suruhanjaya Tentera AS di Guantanamo menetapkan tarikh perbicaraan juri pada Disember, seperti dicadangkan kerajaan AS sebelum ini.
“Kami memfailkan usul meminta suruhanjaya itu (menetapkan tarikh), tetapi kerajaan (AS) membantahnya, walaupun mereka yang mula-mula mencadangkannya,” kata Bouffard menerusi e-mel kepada FMT.
Nazir, seorang lagi warga Malaysia Farik Amin, dan warga Indonesia Encep Nurjaman meringkuk di penjara Teluk G Guantanamo hampir 20 tahun.
Mereka berdepan lapan tuduhan bersama, termasuk tujuh berhubung dua pengeboman berkembar mengorbankan 202 orang di Bali, pada Oktober 2002, dan pengeboman di hotel JW Marriott Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke lokasi rahsia kendalian CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo, pada 2006.
Ketiga-tiga mereka pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2021, namun perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana kerajaan AS gagal menyediakan penterjemah Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia yang berkelayakan.
Bouffard berkata, Nazir telah mendesak agar perbicaraan diadakan segera selepas ditahan 20 tahun dalam kurungan seorang diri, tetapi kerajaan AS tidak membantu dalam perkara itu.
“Nazir mahukan perbicaraan, dan kami sudah muak dan letih, kecewa dengan penangguhan berterusan oleh kerajaan, serta ketiadaan akauntabiliti mahupun kesan atas penangguhan itu.
“Nazir telah ditahan tanpa perbicaraan selama 20 tahun, dan dia diseksa. Perkara ini menjadi noda pada maruah negara (AS).
“Suruhanjaya tentera dan sejarah di Guantanamo menjadi satu penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan nilai yang (AS) dakwa dihargai,” katanya.- FMT