BANGI, Ahad – Sebuah bas persiaran membawa muatan 44 penumpang terbakar di Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.19 pagi.
Menurut beliau, bas persiaran dari Johor Bahru mengahala ke Kuala Lumpur itu mengalami kebakaran 100 peratus manakala kesemua penumpang termasuk pemandu sempat menyelamatkan diri sebelum kebakaran menjadi lebih teruk.
Tambah Hafisham, kebakaran tersebut juga telah menyebabkan bumbung pondok tol terbakar hampir 10 peratus.
Sehubungan itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan laluan plaza tol tersebut terpaksa ditutup sementara dan telah dibuka semula lebih kurang pukul 11.40 pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terkini yang dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), lorong keluar paling kiri di plaza tol terbabit masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan.